loading...
Berikut
luahan hati seorang suami yang kecewa mengingatkan kisah silam
isterinya yang kelam. Walaupun begitu dia begitu mencintai isterinya dan
mengharapkan rumah tangga mereka bahagia biarpun hatinya dibelenggu
kerunsingan.
Saya
telah berkahwin dengan isteri setahun lepas. Biar pun baru namun kami
sudah lama mengenali dan telah berkasih selama 10 tahun sebelum
berkahwin. Sepanjang bercinta, kami tidak pernah menghadapi masalah yang
besar dan jarang bergaduh.
Mengimbas
apa yang berlaku sebelum berkahwin, kami sebenarnya pernah terlanjur
dan kerana menurut hawa nafsu kami mengulangi perbuatan terkutuk itu.
Satu hari, kami berdua ditangkap basah oleh keluarganya dan mereka
bertindak memutuskan perhubungan kami. Kami akhirnya berjauhan kerana
tinggal di negeri berlainan.
Saya
terlalu mencintainya dan saya juga percaya dia mencintai saya pada masa
itu. Selama kami berjauhan, dia tidak pernah menunjukkan sebarang
perubahan sikap dan sentiasa membalas surat dan panggilan saya dengan
penuh mesra dan kasih sayang. Dia juga pernah beberapa kali datang
berjumpa dengan saya tanpa pengetahuan ibu bapanya. Pada saya, dialah
wanita yang betul-betul istimewa dan mencintai saya sepenuh jiwa. Untuk
pengetahuan puan sepanjang perhubungan kami, saya tidak pernah berlaku
curang dengan perempuan lain walaupun saya banyak peluang untuk
melakukan semua itu.
Selepas
tamat Sijil Pelajaran Malaysia dia dapat melanjutkan pelajaran di utara
Semenanjung. Rupa-rupanya semasa melanjutkan pelajaran, dia telah
berlaku curang dengan meniduri enam orang lelaki dan dalam masa yang
sama masih menjadi kekasih saya. Perkara ini hanya saya ketahui setelah
kami berkahwin.
Cukuplah
di sini saya katakan bahawa dia terlalu mudah untuk menyerahkan diri
kepada lelaki-lelaki tersebut walaupun dia tahu bahawa mereka tidak
serius dengannya. Lelaki pertama yang dia tiduri adalah rakan sibernya
dan mereka melakukan hubungan seks pada kali pertama mereka berjumpa.
Seterusnya,
lelaki-lelaki yang hadir dalam hidup dia hanyalah untuk memuaskan
nafsunya sahaja kerana saya tidak dapat bersama dengannya atas masalah
kewangan yang tidak mengizinkan saya berjumpa dengan dia selalu.
Saya
tidak faham kenapa dia sanggup bersama dengan lelaki lain dengan begitu
mudah dan dalam masa yang sama masih menjalinkan hubungan dengan saya?
Kenapa dia memilih saya untuk dijadikan suami? Sudah puaskah dia
melampiaskan nafsunya kepada lelaki-lelaki itu?
Apa
pun dia telah pun sah menjadi isteri saya sekarang. Perkara ini telah
diceritakan oleh isteri semasa kami berbual kosong empat bulan lepas.
Saya menguji dirinya bercerita tentang perkara yang pernah dilakukan
dulu. Saya tak pernah terfikir bahawa dia sanggup berkelakuan
sedemikian. Saya betul-betul percaya bahawa dia setia dan mencintai saya
sepenuh hati.
Lelaki
pertama menidurinya (rakan siber) itu rupa-rupanya adalah kawan kepada
kawan saya sendiri. Rakan itu pernah bercerita dengan kami tentang
seorang wanita yang sanggup menidurinya walaupun baru pertama kali
bertemu. Pada masa itu, kami semua mentertawakan wanita tersebut. Saya
sendiri menganggap wanita itu bodoh kerana menyerahkan kehormatannya
pada lelaki yang baru dikenali, Namun saya tidak menyangka bahawa wanita
tersebut adalah isteri saya saat ini.
Sekarang
ini, saya mohon nasihat puan bagaimana saya hendak menghadapi dugaan
yang begitu berat ini. Masih wujud rasa kasih sayang kepadanya tetapi
cinta itu semakin pudar. Pada hari akad nikah kami, saya nekad untuk
membahagiakan dirinya dan tidak akan menduakan dia tetapi rupa-rupanya
dia yang terlebih dahulu menduakan saya.
Bagaimana
saya hendak teruskan hidup dengannya. Saya tahu kesalahan ini kisah
lama, kira-kira lapan tahun lalu sebelum dia menjadi isteri saya? Saya
tidak dapat terima dia boleh berlaku curang pada saya dan dalam masa
sama, tidur dengan lelaki lain!
Saya betul-betul keliru. Tolonglah, bagaimana harus saya selamatkan perkahwinan kami?
Sekarang
ini, kadangkala saya masih ok tapi ada kala murung dan tidak tentu
arah. Saya takut jadi gila. Untuk makluman juga, buat masa ini kami
tinggal berjauhan, saya di Semenanjung manakala isteri di luar
Semenanjung. Sesekali kami akan bertemu. Dia memang menunjukkan sikap
mahu berubah dan cuba menawan hati saya tetapi tamparan yang diberi
terlalu hebat bagi saya. Bantulah saya puan!
Assalamualaikum tuan yang dirahmati Allah
Tuan
yang dimuliakan, Perlakuan manusia dihasilkan daripada kombinasi
kefahaman, keperluan, cara hidup, gaya hidup dan beberapa elemen emosi
serta ketaatan manusia kepada penciptanya. Ia amat berkait rapat dengan
pembinaan manusia secara kombinasi jasad, akal, roh dan nafsu yang
mendorong manusia untuk mengikut peraturan atau tidak mengikut peraturan
yang disediakan oleh manusia atau hukum yang telah ditentukan oleh
Allah SWT.
Manusia
yang kurang ketaatan dan ketakutan kepada Allah S.W.T akan bertindak
mengikut kesesuaian diri, keseronokan dan mengabaikan larangan yang
telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, manakala manusia yang taat dan takut
kepada Allah pula akan sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T dan
berusaha untuk menjauhkan diri dari melakukan perkara yang mungkar dan
merugikan manusia. Sehubungan itu kelompok manusia yang suka melakukan
perkara yang mungkar pula akan bertemu dengan manusia yang mempunyai
“taste” yang serupa maka tidak hairanlah bahawa manusia yang melakukan
zina maka akan bertemu dengan manusia yang suka melakukan zina juga.
Namun
Allah S.W.T maha pengampun dan penyayang yang akan memberi jalan
keinsafan walaupun sudah jelas segala kemungkaran itu berlaku akibat
dari kerakusan nafsu manusia. Maka keinsafan yang bersungguh-sungguh dan
diikuti dengan taubat nasuha akan membawa manusia ini ke jalan yang
benar dan diredhai.
Ini
yang berlaku kepada tuan, tuan telah pernah hanyut dalam kegelapan
bersama-sama kekasih tuan yang akhirnya menjadi isteri tuan. Setelah
pintu keinsafan terbuka dan tuan mengajak isteri tuan bersama-sama untuk
membuka cerita baru dalam hidup ini, kisah lama yang disingkap telah
membawa tuan menjadi lebih beremosi serta cuba mengubah sejarah silam
mengikut acuan tuan sendiri. Tuan menganggap bahawa kisah silam tuan
tidak pernah berlaku secara songsang, tuan memilih isteri yang tidak
curang, tuan mengharap kekasih tuan juga seperti tuan iaitu boleh
ditiduri oleh tuan seorang saja, bukan lelaki yang lain.
Padahal
hakikatnya sama saja iaitu tuan pada masa itu tidak kekok untuk
melakukan zina dan kekasih tuan pada masa itu juga mempunyai tujuan yang
sama. Hanya setelah dikejutkan oleh keluarga, barulah tuan sedar dan
berubah. Keadaan ini telah menambahkan helah bela diri tuan bagi
merasionalkan anggapan tuan bahawa kenapa tuan boleh setia sedangkan
kekasih (sekarang isteri) tuan boleh mencari pelbagai pilihan lelaki
untuk ditiduri. Oleh itu tuan perlu memikirkan alternatif ini bagi
membantu tuan mengubah persepsi tuan.
Pertama,
pastikan maklumat dari isteri tuan ini adalah benar dan bukan sekadar
menonjolkan “kehebatan” dalam sesi cabar-mencabar bersama tuan. Setelah
dipastikan ketepatan, maka tuan perlu timbangkan kepentingan untuk terus
berada dalam dilema ini. Cuba pastikan bila masa peristiwa ini berlaku,
jika sudah menjadi lipatan sejarah maka tuan perlu menerima isteri tuan
seadanya bukan menyingkap kisah lalu dan menyalahkan isteri tuan atas
kecurangan yang berlaku.
Kedua,
tuan perlu fahami keadaan cemburu tuan didasari oleh kasih atau dendam.
Jika didasari oleh kasih maka bawalah isteri tuan ke pangkal jalan dan
jangan tinggalkan dirinya seorang diri meredah segala duri kehidupan.
Sebaliknya jika didasari dendam atau menjadi ‘pak sanggup’ di atas
ketelanjuran maka tuan perlu memperbetulkan segala kepincangan ini dan
perbetulkan niat perkahwinan tuan.
Tuan
perlu sedar bahawa kejadian kaum Adam adalah pemimpin kepada kaum hawa,
maka gunakan sebaik mungkin peluang keinsafan yang ada untuk kembali ke
jalan yang benar dan diredhai Allah S.W.T.
Ketiga,
tuan perlu fikirkan semula jarak berjauhan tuan dan isteri yang boleh
mengundang seribu satu macam persepsi negatif serta menggalakkan peluang
kecurangan berulang kembali serta peluang fitnah yang berleluasa.
Oleh
itu usahakan agar tuan dan isteri boleh berada dekat kerana tempat
isteri adalah di samping suami. Keempat, tuan perlu kembalikan pemikiran
positif tuan kepada diri tuan dan isteri iaitu dengan merancang apa
yang akan tuan lakukan di masa depan bukan menoleh ke belakang dan
mengimbau pengalaman dosa dan ketelanjuran yang boleh meracuni
kebahagiaan suami isteri.
Tuan
perlu faham bahawa segala yang berlaku adalah dengan kerelaan tuan
seperti tuan merelakan berlaku zina antara tuan dan isteri sebelum
berkahwin. Tuan rela menerima isteri dalam banyak keadaan dan tuan
sanggup melupakan segala kenangan silam demi untuk membahagiakan isteri
tuan. Oleh itu tuan perlu berhenti dari memikirkan kisah silam dan
tumpukan untuk usaha berada dekat dengan isteri tuan.
Tuan
yang dihormati, yakinlah bahawa menjadi seorang pemimpin dalam keluarga
, sangat besar tanggungjawabnya terhadap diri dan orang yang dipimpin.
Ketahuilah bahawa tuan sudah berada di atas landasan yang benar, maka
teruskan perjalanan dan perjuangan.
Usahakan
agar isteri tuan tidak kembali kepada jalan perzinaan dengan sentiasa
berada dekat dengannya, lupakan kisah silam masing-masing dan terima
anugerah kebahagiaan ini untuk mempertingkatkan usaha merapatkan
hubungan dengan Allah S.W.T. Bantu isteri untuk takutkan Allah S.W.T dan
beriman dengan Allah S.W.T kerana sesungguhnya apabila manusia takutkan
azab Allah S.W.T maka dia akan berusaha menjauhkan dosa.
loading...
0 Response to ""Aku Akui Memang Dia Cantik! Itu Salah Satu Aku Kahwin Dengan Dia! Tapi Kenapa Dia Sanggup Tiduri 6 Lelaki Lain Semasa Ketiadaan Aku Dirumah.. Sekarang Kau Rasa Bila Aku Viralkan Kes Kau!""
Post a Comment