Demikian rintihan ibu kepada dua adik-beradik yang ditemukan mati lemas di Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung, menceritakan kenangan terakhirnya bersama-sama.
Hasina Ibrahim, 45, berkata, dia tidak menyangka gurauan manja kedua-dua anaknya Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan Abdullah, 10, selepas ba­ngun tidur pagi semalam menjadi gurauan terakhir buatnya.
“Mereka (anak) memang sa­ngat manja. Semalam bila ba­ngun tidur, mereka gurau-gurau dan peluk saya. Adik baring di sebelah kiri, abang di sebelah kanan. Kedua-dua peluk saya tapi saya buat-buat tolak mereka.



“Saya cakap tidak mahu cium sebab dua-dua belum mandi. Tapi, makin kuat saya tolak mereka, makin erat mereka peluk saya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini hari ini.
Hasina berkata, anak kedua dan keempat daripada empat beradik itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 juga tidak hadir ke sekolah semalam kerana dia tidak mengejutkan mereka.
“Semalam saya rasa berat hati sangat ingin kejutkan anak-anak ke sekolah malah bapa tiri mereka, Abdul Halim Rosli pun saya tidak kejutkan untuk pergi kerja. Tidak tahulah kenapa berat sangat rasa hati ini,” katanya.
Hasina berkata, kedua-dua anaknya kemudian keluar rumah kira-kira pukul 2.30 petang untuk bermain dengan rakan-rakannya sebelum dia dimaklumkan mengenai kejadian lemas tersebut.
Katanya, kehidupan mereka sekeluarga kini tidak lagi sama selepas kehilangan dua adik-beradik tersebut namun reda de­ngan ujian Allah.
“Tidak tahulah lepas ini macam mana ingin teruskan kehidupan. Memang saya sedih hilang dua anak sekelip mata. Semalam baru bergurau, hari ini sudah hilang di depan mata,” katanya.
Shahrizat dan Shahrizwan merupakan dua daripada lapan kanak-kanak yang lemas selepas menangguk ikan di Sungai Selangor di Kampung Timah semalam.