loading...
PAKAI jaket terbalik memang sudah jadi perkara biasa dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia. Ia seakan sudah menjadi satu keunikan budaya atau trend yang tidak anda temui di negara lain. Tidak diketahui siapakah yang mencetuskan trend memakai jaket terbalik, tetapi dipercayai dimulakan pekerja-pekerja penghantaran (juga dipanggil mat despatch atau peon).
Ini kerana jaket memainkan peranan penting sebagai pakaian utama dalam melicinkan tugasan penghantaran mereka. Jaket boleh berfungsi sebagai baju sejuk pada awal pagi, baju hujan jika gerimis atau hujan mengejut dan pelindung tangan daripada panahan terik matahari. Mungkin disebabkan semua situasi itulah yang menyebabkan tercetusnya trend memakai jaket terbalik di Malaysia. Mat despatch atau peon perlu berjaket dengan pantas dan efisien!
Kini, ia boleh dikatakan sudah menjadi trend bagi semua penunggang motosikal negara ini. Selain mereka yang memang bekerja sebagai despatch atau peon, apa pula alasan penunggang kita memakai jaket terbalik?
1. MASA ITU EMAS
Ya, masa begitu penting bagi penunggang Malaysia sehinggakan memakai jaket dengan betul pun boleh diambil kira sebagai membuang masa. Banyak kerja penting lain yang perlu disegerakan daripada hanya mahu memikirkan tentang jaket terbalik atau tidak. Kata Joker, why so serious?
2. PENUNGGANG MINIT AKHIR
Kalau kita lihat cara pemain bola sepak kita bermain, aksi tergolek dan terbaring ialah insiden biasa atas padang. Semua tahu ia sengaja dilakukan untuk melengah-lengahkan masa. Masalahnya sekarang, tabiat sama turut membelenggu penunggang motosikal kita.
Mereka suka melengahkan masa atau buat kerja minit akhir. Bila sudah terdesak, mulalah kucar-kacir mahu melangsaikan kerja. Apa lagi, terus capai jaket, pakai saja terbalik dan hidupkan enjin motor. Tidak perlu fikir panjang, terus jalan!
3. POTONG ANGIN UNTUK AERODINAMIK
Sebenarnya, jenis jaket paling sesuai 'memotong angin' adalah windbreaker yang memang direka khas untuk dipakai ketika cuaca sejuk dan berangin. Tetapi penunggang kita memang kreatif, bagi mereka bahagian belakang jaket biasa juga boleh berfungsi sama sebagai pengadang angin.
Sesetengah jaket ada lapisan lebih tebal di bahagian belakang, termasuk kolar yang juga tebal. Semua ciri tersebut semestinya mampu memberikan ekstra perlindungan jika dipakai terbalik. Secara logiknya, jaket terbalik yang tidak dizipkan lebih berkesan menepis angin ke arah tepi penunggang. Kreatif bukan?
4. SUSAH SAMA SUSAH
Bagi penunggang yang kerap berdua ke mana-mana, satu jaket yang dipakai mampu memberikan perlindungan kepada dua orang di atas motor. Pembonceng yang memeluk pinggang penunggang juga mendapat perlindungan sama daripada jaket penunggang yang berfungsi sebagai pengadang angin dan pemanas. Seperkara lagi, menggunakan satu jaket juga dapat menjimatkan ruang simpanan.
5. HUJAN LEBIH BANYAK DARI DEPAN
Situasi hujan tiba-tiba turun ialah fenomena biasa bagi penunggang Malaysia. Bagi penunggang berpengalaman, melihat awan di langit pun mereka sudah boleh mengagak sama ada perjalanan di hadapan akan dilanda hujan lebat yang lama, sekejap atau sekadar gerimis.
Inilah sebab kenapa jaket dipakai terbalik. Bagi situasi hujan sekejap atau gerimis, bahagian hadapan penunggang lebih kerap basah berbanding belakang. Ia adalah tentang hukum fizik melainkan seseorang itu menunggang secara mengundur. Secara normal, berasaskan pergerakan penunggang, arah angin dan hujan akan lebih bertumpu ke arah hadapan.
Bagaimana pula kalau hujan lebat? Kalau lebat, penunggang biasanya akan berhenti di bawah jambatan atau mana-mana lokasi berteduh. Sekarang, tibalah masa memakai baju hujan pula.
6. ANTI-PELUH SEMULA JADI
Fakta yang tidak boleh disangkal, Malaysia ialah negara tropika yang mengalami panas dan hujan sepanjang tahun. Jadi, penunggang memakai jaket bukanlah sekadar mahu mengelak kesejukan atau tempias hujan semata-mata. Dalam banyak situasi, mereka cuba mengelak kepanasan.
Jaket yang dipakai secara betul ketika cuaca normal walaupun bukan musim kemarau berisiko menyebabkan badan rasa berbahang dan berpeluh. Lagipun, bukankah belakang badan kita lebih kerap berpeluh berbanding hadapan. Sekarang, pakai saja jaket terbalik dan angin luar akan memberikan pengudaraan semula jadi ke atas tubuh anda. Memang penyelesaian bijak!
7. KECANTIKANKU BEGITU BERHARGA
Sama seperti permasalahan di atas, selain berfungsi sebagai agen anti-peluh, jaket terbalik juga boleh bertindak sebagai pelindung UV. Kulit yang kerap terdedah (terutama lengan) kepada sinar matahari dalam jangka masa lama akan menukarkan kulit menjadi gelap atau berbelang. Rasa leceh dan tidak maskulin pula mahu menyapu losyen setiap kali mahu menunggang.
Sesetengah penunggang memang ada membeli pelindung lengan khas. Tetapi kenapa perlu bersusah payah kerana anda sudah pun ada jaket. Cukup saja pakai terbalik setakat paras lengan.
8. WEAR N' GO
Ada penunggang yang sentiasa berjaket sepanjang masa. Namun, ramai juga penunggang biasanya tidak berjaket sejak awal menunggang. Mereka biasanya meletakkan jaket dalam bakul depan sebagai persediaan. Maklumlah cuaca boleh jadi tidak menentu bila-bila masa.
Jadi, apabila cuaca berubah, misalnya hujan di pertengahan jalan, penunggang Malaysia dengan penuh kemahiran individu (PERINGATAN: aksi ini berbahaya, cuba elakkan) akan terus saja menyarung jaket mereka secara terbalik tanpa perlu menghentikan motosikal.
Apa tidaknya, kalau mahu pakai jaket dengan betul, mereka perlu cari tempat berteduh atau kawasan selamat (kebetulan pula sedang dalam situasi poin nombor 1 dan 2). Apa lagi, terus saja sarung jaket sambil menunggang. Fleksibel dan efisien!
9. BUKAN SUPERMAN
Dalam banyak sebab, inilah antara alasan paling kukuh dan teknikal tentang kenapa penunggang Malaysia pakai jaket terbalik. Menyarung jaket tanpa dizipkan akan menyebabkan jaket tersebut mengerbang ke belakang, tidak ubah seperti aksi Superman terbang menyelamatkan mangsa.
Itu belum lagi bercerita hal kancing zip melibas muka akibat ditiup angin. Maklumlah, zip rosak. Aduh, memang sakit macam terkena batu! Apa lagi cara paling selamat, jimat dan berkesan kalau bukan sarung saja jaket secara terbalik.
10. IKUT TREND, TAK NAK JADI SKEMA
Kalau sudah ramai yang pakai begitu, takkanlah kita seorang saja pakai jaket cara betul. Kata orang, tak kapcailah pakai jaket zip depan. Lainlah bawa motor besar dan pakai jaket kulit. Setakat jaket kain nipis, beli di Uptown dan tidak kisah sangat kalau dicampak-campak, apalah sangat pakai jaket terbalik.
Apa yang penting, mesti ikut trend! 😀
loading...
0 Response to "Inilah 10 Sebab Kenapa Mat Motor Malaysia Pakai Jaket Terbalik"
Post a Comment