loading...
Awak, Kalau Awak Takmo Kat Saya, Pulangkan Lah Sleeping Bag Saya Tu !!! | Assalamualaikum admin dan para pembaca. Diharap admin sudi menyiarkan luahan hatiku ini. Aku harap secebis pengalaman yang akan kuceritakan ini dapat memberi pedoman kepada pembaca. Peristiwa ini berlaku tahun lepas; peristiwa yang mengajar aku untuk menjadi seorang yang tabah dan lebih sedar akan realiti kehidupan ini.
Sebelum itu aku nak kenalkan diri supaya korang faham situasi yang berlaku. Nama aku Siti. Aku seorang perempuan, bekerjaya, pertengahan usia 20-an. Biasalah bila sudah tamat belajar, bekerjaya pula mestilah ibu bapa dah mula tanyakan pasal jodoh kan? Kisahnya, aku memang tiada kenalan special untuk dikenalkan kepada keluarga.
Rupaku agak biasa; berkulit sawa matang, sedikit berisi, kulit tidak berapa flawless menyebabkan aku tidak yakin untuk mencari pilihan sendiri. Lagi pun sejak sekolah mahu pun di universiti aku tidak pernah mempunyai insan bernama teman lelaki. Ibu bapa aku juga sedia maklum tentang keadaan aku ini.
Suatu hari, ibuku memberitahukan tentang hajat seorang kenalannya untuk menjodohkan aku dengan anak saudaranya. Bila dirisik; lelaki itu tua dua tahun daripada aku, bekerjaya dan bersedia untuk mencari calon isteri. Aku diberi gambar si dia. Aku dikenalkan secara tak langsung mengenai peribadi dan latarbelakangnya. Aku tidak banyak soal.. Hanya mengikut perancangan orang tuaku. Bagiku apa yang terbaik untuk mereka, pasti terbaik juga untuk diriku.
Menurut ibuku, keluarga mereka akan datang merisik pada hujung bulan. Seisi keluargaku sudah tahu mengenai hal itu. Ibu bapaku juga dilihat gembira dengan perkhabaran ini. Aku meminta ibu untuk berkenalan terlebih dahulu dengan si dia sebelum melibatkan keluarga (merisik).
Namun, ibuku tidak membenarkan. Tidak manis katanya. Aku hanya menurut perintah Saat yang dinanti telah tiba. Si dia dan keluarganya datang pada hujung bulan itu. Aku dan keluargaku tidak menyangka bahawa lima buah kereta yang berkunjung ke rumahku. Segan bukan kepalang. Pertama kali mahu bertentang mata, ramai pula yang hadir. Aku mula gusar. Ibuku ada memaklumkan bahawa mereka sebenarnya mahu membawa cincin tanda bersama. Tapi ditolak dengan baik oleh ibuku. Katanya, lihat dan kenal aku terlebih dahulu
Setelah mereka pulang, barulah si dia menghubungi aku.. Kedua-dua belah keluarga nampak merestui hubungan ini. Mak saudaranya juga memberitahu ibuku bahawa mereka ingin datang untuk mengikat tali pertunangan pada hari raya korban nanti. Aku hanya menurut saja, selain solat istikharah perbincangan antara dua belah keluarga juga nampak baik. Si dia juga menghubungiku setiap hari.. Bagiku, ini fasa perkenalan. Aku cuba mengenali si dia. Sepanjang sebulan kami berhubung, tidak pernah sekali pun si dia meluahkan isi hatinya. Aku kira tidak mengapa, mungkin benar kata mak saudaranya bahawa si dia pemalu orangnya. Aku hanya mengikut rentak.
Kadangkala ada juga hint-hint yang diberinya. Dia berhasrat untuk mencari sebuah rumah untuk kami nanti. Ada beberapa kali dia meminta pandanganku. Aku kira dia benar-benar tulus denganku. Ini bermaksud aku perlu berpindah ke Kuala Lumpur jika kami berkahwin kelak. Semasa tempoh ini, beberapa kali ibuku bertanya tentang tarikh pertunangan yang sesuai. Jadual aku yang sangat padat dengan aktiviti luar pada bulan itu, membuatkan aku tidak menetapkan sebarang tarikh lagi. Lagipun, si dia tidak pernah berbincang denganku soal pertunangan. Aku ingin juga mendengar daripada mulutnya sendiri. Bagiku, itu tandanya dia benar-benar serius denganku.
Tidak lama kemudian, ibuku memaklumkan bahawa keluarga mereka akan datang untuk mengikat tali pertunangan seminggu selepas hari raya. Aku terkejut. Kenapa si dia tidak pernah berbincang denganku? Benarkah dia tulus? Mengapa hanya mak saudaranya saja yang memaklumkan? Benarkah dia benar-benar pemalu? Ahaku kerisauan.
Masih segar diingatanku, pagi itu dia menghubungiku seperti biasa. Aku kira mungkin ini waktu yang sesuai untuk terus mengajaknya berbincang. Tidak mengapalah jika aku yang memulakannya dahulu. Aku tidak mahu diselubungi misteri. Lewat petang itu, aku mengajaknya berbincang tentang majlis pertunangan. Mesej yang dihantar telah diterima.. Namun, hingga saat ini tiada satu pun balasan daripadanya. Aku bersabar, aku menunggu balasannya pada esok hari. Tetap tiada. Aku bersabar lagi Aku memberinya masa untuk berfikir. Lima hari aku membiarkan perkara ini sepi. Aku mencuba nasib. Bertanya khabarnya. Tetap tiada balasan. Aku mengerti. Aku membawa diri.
Hatiku remuk. Bohong jika tidak menaruh impian. Bohong jika hati tidak terluka. Tidak kusangka perkara ini terjadi. Keluargaku juga turut terkejut. Ibuku memarahiku. Beliau menyangka sikapku yang bukan-bukan telah membuatkan si dia pergi meninggalkanku. Aku kecewa. Malu.
Apa kena-mengena kisah sleeping bag dengan peristiwa yang kukongsikan ini? Sebenarnya semasa tempoh kami berkawan, aku ada memberi si dia meminjam sleeping bag aku.. Sleeping bag itu baru saja dibeli. Pernah sekali saja aku menggunakannya. Hingga saat ini, sleeping bag itu turut terkubur bersama. Awak, jika tak nak kat saya pun takpelah. Tapi sleeping bag tu pulanglah balik. Saya lebih sayangkan sleeping bag tu daripada awak.huhuhu..
Buat kaum hawa, pesananku Jangan terhegeh kepada lelaki. Sifat lelaki memburu atau fighter.. jika si dia tidak begitu, jangan melalaikan dirimu dengan angan-angan mat jenin. Zaman ini, sukar untuk menggunakan orang tengah, sebaiknya kenalilah terlebih dahulu pasanganmu.. berkawanlah Bukan tidak percaya cinta selepas nikah.. tapi, kenalilah si dia dengan sendiri terlebih dahulu (taaruf). Dan pastinya; berbincanglah. Perkahwinan bukan dibina di atas satu jiwa ia gabungan dua jiwa. Andai tiada perbincangan, timbullah prasangka.. rapuhlah sebuah ikatan itu.
Hingga saat ini, teringin juga untuk mengetahui mengapa aku ditinggalkan tanpa sebab. Kupujuk hatiku; bukan jodoh. Lebih baik ditinggalkan tanpa ikatan, sebelum membina ikatan. Sekadar perkongsian; jangan terlalu sedih dan menyalahkan takdir Cinta manusia bukan penamat dunia. Carilah hikmah.. Allah menjagamu. Salam sayang. Siti via IIUM.
loading...
0 Response to "Awak, Kalau Awak Takmo Kat Saya, Pulangkan Lah Sleeping Bag Saya Tu !!!"
Post a Comment