'Giliran saya melalui 'detik hitam' di Hospital Selayang' - Izzat Ismail

loading...


  • 'Detik hitam' bermula pada 01/12/2016 jam 8.30 pagi sejurus Fara ditolak ke dewan (bilik) bersalin. 
  • Dah macam pesta dalam bilik bersalin ini. Mereka semua jadi macam pasukan sorak pom pom girl, bagi semangat dan motivasi pada Fara.
  • Bila bayi selamat saja keluar, jururawat ini semua ramai-ramai ucap, "Assalamualaikum" pada anak syurga yang baru lahir. 
  • Layanan para jururawat dan doktor di wad tingkat 5 dan tingkat 11B juga sangat baik, siap ajarkan cara untuk cuci najis dan bedung bayi.

Oleh Izzat Ismail

Selepas begitu ramai marhaen memviralkan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatan hospital kerajaan, kini giliran saya melalui 'detik hitam' yang sama. Mohon ketua pengarah kesihatan malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Hajah Siti Zaleha mengambil perhatian terhadap perkara ini.

Pada tarikh 30/11/2016, lebih kurang jam 11.30 malam, saya telah menghantar isteri saya, Fara Eliyani yang mengalami pecah air ketuban ke Hospital Selayang. Selepas memeriksa bukaan, doktor meminta Fara ditahan di wad dan dijangka bersalin keesokan hari.

Untuk pengetahuan kalian, di Hospital Selayang, suami diberi kebenaran untuk menemani isteri sewaktu proses kelahiran bayi.

'Detik hitam' bermula pada 01/12/2016 jam 8.30 pagi sejurus Fara ditolak ke dewan (bilik) bersalin. Terdapat dua orang jururawat mengawasi keadaan Fara dan bayi dalam kandungan, namun mereka kadang kala keluar masuk daripada bilik bersalin.

Saya agak panik apabila Fara maklumkan bayi dah nak keluar, saya terus bergegas mencari jururawat dan mereka datang dengan selamba cakap, 

"Belum lagi ni, cik,"

Dalam hati saya, "fuh rilek betul akak misi ni, tak menggelabah pun.". Yang bagusnya, jururawat siap ajar Fara untuk baca beberapa ayat Al-Quran bagi memudahkan proses kelahiran.

Lebih kurang jam 10.30 pagi, apabila bukaan sudah 10 cm dan Fara sudah bersedia nak melahirkan bayi, jururawat yang asalnya cuma dua orang, entah dari mana tiba-tiba muncul menjadi 7 ke 8 orang dan turut serta seorang doktor. Dah macam pesta dalam bilik bersalin Fara ini. Mereka semua jadi macam pasukan sorak pom pom girl, bagi semangat dan motivasi pada Fara yang tengah bertarung nyawa untuk bersalin.

"Bagus cik, sikit lagi, sikit lagi, ya bagus cik, pandai sangat, ha pandai macam ini la.."


Gambar team wad bersalin selepas Fara selesai bersalin

Fara ada beritahu saya, sorakan jururawat-jururawat ini benar-benar membuatkan dia yang letih menjadi bersemangat. 


Bila bayi selamat saja keluar, jururawat ini semua ramai-ramai ucap, "Assalamualaikum" pada anak syurga yang baru lahir. Sayu betul saya rasa masa ini. Servis yang sangat hebat dan profesional.

Alhamdulillah, layanan para jururawat dan doktor di wad tingkat 5 dan tingkat 11B juga sangat baik, siap ajarkan cara untuk cuci najis dan bedung bayi. Makcik pengawal keselamatan wad 11B pun baik hati, saya kebuluran pukul 11 malam, makcik ini siap boleh tolong belikan Nasi Goreng USA.

02/12/2016 Fara diberi kebenaran untuk balik. Ada dua pemeriksaan sekuriti yang sangat ketat perlu dilalui Fara dan bayi, saya tengok hampir mustahil untuk kes culik bayi berlaku.

Masa nak keluar pun, makcik pengawal keselamatan sempat menitipkan kata-kata nasihat pentingnya penyusuan susu ibu pada saya dan Fara. Haha. Padu sungguh baq hang.



Begitulah kisah 'detik hitam' layanan hospital kerajaan di Hospital Selayang. Selama ini orang cerita yang buruk-buruk, apa salahnya perkara yang baik pun kita war-warkan. Tahniah kakitangan Hospital Selayang amnya dan pasukan wad bersalin Hospital Selayang khususnya untuk servis tip-top setara servis hospital swasta.

Mohon Datuk Hisham mempertimbangkan kenaikan gaji buat mereka dan mohon Dr Zaleha memberi anugerah khidmat cemerlang buat kakitangan puan. Adios.

Sumber : The Reporter
loading...

0 Response to "'Giliran saya melalui 'detik hitam' di Hospital Selayang' - Izzat Ismail"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close